Abu Laits
as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah
berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada
menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang
Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi
diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah
pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa
yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga;
engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah
engkau daripadanya."
Pada keesokan
harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang
pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu
kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi,
tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus
berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia
menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar
buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila
ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur
'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu
meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia
teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah
Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu
terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang
berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor
burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi
Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan
burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan
dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu
pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku
sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah
engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu
teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh
putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.
Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit
daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu,
helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian
itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu
bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana
tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui
kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu,
Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun
melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka
jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau
telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu
ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika
bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi
lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal
kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga;
jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu
kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah
ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang
duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku,
kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa akan selalu
berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita
hindarkan setiap hari ialah
membicarakan hal orang, memang menjadi
tabiat seseorang itu suka membicarakan
hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-membicarakan hal seseorang itu akan menghilangkan pahala
kita, sebab ada sebuah hadis disampaikan bahwa
di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala
yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia
dulu."
Maka berkata Allah
S.W.T., "Ini adalah pahala dari orang yang membicarakan tentang dirimu." Dengan ini haruslah
kita sedar bahawa walaupun apa yang kita ucapkan itu memang benar, tetapi membicarakan orang
lain itu akan merugikan diri kita
sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan membicarakan hal orang walaupun ia benar.
Related Post :